Pentingnya
ICT
ICT
ICT ialah satu inovasi dalam
kehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Sama seperti lain-lain perkara baru
yang diperkenalkan di dalam kehidupan sesuatu masyarakat, ia tentu menimbulkan
pelbagai reaksi sebelum diterima menjadi sebahagian daripada budaya hidup.
Kefahaman masyarakat terhadap keperluan ICT di dalam kehidupan hari ini perlu
dipertingkatkan. Ini memandangkan tanpa kefahaman yang jelas akan menjejaskan
perkembangannya di Malaysia dan sekaligus memperlahankan usaha kerajaan untuk
melahirkan masyarakat bermaklumat di Malaysia.
Kepentingan dalam ICT sebenarnya mampu
mencorakkan semula cara dan gaya pemikiran serta sistem nilai masyarakat masa
kini dan akan datang. Mahu atau tidak, persaingan akan wujud yang memerlukan kepada
tindakan pantas dan bijaksana bagi menghadapi keadaan ini. Semua ini memerlukan
kredibiliti dan kemampuan manusia sebagai pengurus atau pekerja yang mahir dan
‘knowledgeable’. Oleh itu, perubahan demi perubahan perlu dilaksanakan bagi
mengisi ruang-ruang input yang baru dan terkini dalam pendidikan di negara ini.
Pembangunan sistem pendidikan di negara ini
selepas merdeka merupakan hasil daripada segala proses yang bertitik tolak
daripada perancangan program- program kerajaan untuk melaksanakan berbagai-bagai
peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1957 dan Akta
Pelajaran 1961.
Oleh yang demikian, tidak
dapat ditolak hakikat bahawa dari semasa ke semasa aspek matlamat dan peranan
pendidikan negara telah disesuaikan dengan matlamat dan keperluan-keperluan
rancangan negara. Dalam hal ini, matlamat pembangunan pendidikan sentiasa
diberikan penekanan yang wajar. Prosesnya telah merangkumi pelbagai aspek
pembangunan dalam program pendidikan berasaskan kepada dasar- dasar umum dan khusus
yang diputuskan dari semasa ke semasa. Justeru itu, banyak perubahan telah
berlaku dengan pesatnya. Antara yang terpenting ialah dalam bidang pelaksanaan
teknologi komunikasi dan maklumat.
Perubahan ini adalah
berdasarkan kepada keperluan dalam
zaman sains dan teknologi.
Pendidikan menjadi sasaran
perubahan dan agen perubahan yang terpenting. Tekanan juga berlaku apabila
pengimportan teknologi. Pengetua dilihat orang yang paling maju untuk menerima
perubahan teknologi. Contohnya teknologi komputer dan internet. Komputer dan
internet sering diwar-warkan dapat menyelesaikan segala masalah. Sedangkan apa
yang berlaku di sekolah mahupun universiti ialah ketiadaan kakitangan mahir
untuk mengendalikannya. Rempuhan teknologi maklumat tidak dapat dielakkan lagi.
Maklumat kini berada di hujung jari jika kita mahu menggunakannya.
Ingatan mantan Perdana Menteri Malaysia
terdahulu, Dr Mahathir Mohamad, “ “Kejayaan atau kegagalan seseorang banyak
bergantung kepada dirinya sendiri . Bangsa yang dikelilingi oleh keadaan yang
menekan , boleh berjaya . Sedangkan bangsa yang mempunyai negara yang serba
mewah mungkin lebih miskin dan lemah “
Setiap warga pendidik mestilah berfikir secara
positif dan kreatif. Anggaplah dan lihatlah setiap situasi yang muncul dengan
tiba-tiba dan melihat perubahan sebagai satu peluang. Sebarang perubahan
memerlukan keseimbangan baru di dalam sistem itu. Ia akan ditentang tetapi
secara relatif tidak sering berlaku. Apabila perubahan berlaku, haluan
perubahan itu akan ditentang dengan kuat. Dorongan utama bagi perubahan adalah
daripada luar.
1.0 DEFINISI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Maklumat pada asasnya
bermaksud data yang mana dengan kehadiran proses pembelajaran menjadikannya
pengetahuan. Dengan kata lain proses pembelajaran itu sendiri adalah proses
mendapatkan, menggunakan dan menjadikan maklumat itu pengetahuan. Kompetensi
‘Celik Maklumat’, kesedaran kepada keperluan kepada maklumat, keupayaan
menganalisa maklumat dan menilai kegunaannya, dan berupaya menggunakan maklumat
berkenaan bagi tujuan pengetahuan adalah penting bagi membolehkan proses di
atas dilaksanakan. Komunikasi adalah perbuatan berhubungan antara manusia dan
budaya, tapi telah melalui dimensi baru setelah dirangkaikan dengan terma
‘maklumat’ dan ‘teknologi’.
Teknologi pula bukanlah
terhad kepada internet, rangkaian, CD-ROM, video, TV dan segala yang nampak
bersifat teknikal tetapi terma ‘teknologi maklumat’ yang merangkumi penggunaan
internet dan rangkaian komunikasi. Bagi dunia pendidikan ‘teknologi maklumat’
boleh dibahagikan kepada dua iaitu;
- Teknologi komputer seperti
modul kursus berasaskan komputer, penilaian berkomputer, perisian pemprosesan
kata, grafik, lembaran kerja, pangkalan data dan persembahan;
- Perisian telekomunikasi yang
menawarkan pendidikan jarak jauh, penyebaran sumber dalam pendidikan, e-mel,
konferen video, papan buletin dan chatting.
2.0 Keperluan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) kini menjadi suatu keperluan dan kepentingan sistem pendidikan
negara. Integrasi ICT dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan turut
menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan institusi pendidikan di samping
meningkatkan kompetensi dan
prestasi pengurus dan pemimpin
pendidikan.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) merujuk kepada sistem yang membolehkan pengumpulan, pengurusan,
manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk.
Komunikasi ini melihat kepada unsur-unsur keupayaan multimedia, inter-aktiviti
dan keupayaan perhubungan. (ICT) merupakan elemen yang penting dalam menghadapi
dunia masa kini iaitu dunia tanpa sempadan. Ia merupakan satu cabaran kepada
sistem pendidikan negara kearah menghasilkan generasi yang celik ICT. Cabaran
perlu ditangani dengan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
serta pengurusan sekolah.
Penggunaan ICT dalam pengurusan dan
pentadbiran serta pengajaran menjadi satu keperluan yang tidak dapat dinafikan
kepentingannya. Keperluan ini menjurus kepada peningkatan pelbagai pengetahuan
dan kemahiran serta perubahan sikap dalam ICT sejajar dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan kearah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis serta
berkembang secara menyeluruh dan bersepadu. Kemunculan ICT merupakan faktor
utama yang mempengaruhi pendidikan sejak beberapa dekat yang lalu (Chen, 2004).
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah menyediakan peluang dan perubahan
cara pelajar belajar dan cara guru mengajar. Di samping kebanjiran peralatan
ICT dalam bidang pendidikan, didapati wujud sebilangan besar guru yang kurang
selesa ( uncomfortable) dengan komputer
(Bohlin, 2002; Cradler & Cradler, 2001;
Fletcher & Deeds, 1994).
3.0 Kajian Literatur
Banyak kajian telah dijalankan
khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengkaji penggunaan ICT dan
sistem maklumat dalam sistem pendidikan. Dapatan kajian yang berbentuk
kuantitatif dan kualitatif ini seharusnya dapat memberikan input kepada
perlaksanaan ICT di Malaysia. Hasil kajian di sekolah-sekolah di Belanda,
(Visscher, 1999;Visscher & Bloemen, 1999) mendapati bahawa tahap latihan
dalaman dan latihan luaran, serta kefahaman pengurusan sekolah untuk mencapai
matlamat inovasi adalah faktor kritikal untuk mencapai
kejayaan pelaksanaan sistem
maklumat di sana.
Penyelidik-penyelidik di
Eropah, Amerika Syarikat dan Timor Tengah (Barret, 1999; Bozeman et.al.,1991,
Telem & Buvitski, 1995) turut sama mengkaji kesan integrasi ICT dalam
pentadbiran dan pengurusan pendidikan. Kesemua kajian ini menunjukkan kesan
positif integrasi ICT dalam pentadbiran dan pengurusan pendidikan. Sebagai
contoh, kajian oleh (Telem, 1999) mendapati bahawa ICT secara signifikan telah
membantu pemimpin sekolah dalam menjalankan tugas seharian di samping
mengeratkan hubungan komunikasi, sesama pihak pengurusan sekolah dan guru-guru.
Guru-guru dipantau, diselia dan diberikan maklumbalas, kekerapan mesyuarat dan
proses membuat keputusan bersama turut menerima kesan positif hasil daripada
integrasi ICT dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Dalam kajian selanjutnya
(Telem, 20011a) mendapati bahawa integrasi sistem maklumat di sekolah telah
menyumbang kepada peningkatan keupayaan kawalan pengetua di sekolah di samping
membantu menyediakan laporan-laporan yang terkini dan tepat apabila diperlukan.
Keadaan ini meningkatkan keupayaan mereka untuk menyelia, memantau dan menilai
pencapaian pelajar dan penyeliaan guru. Integrasi sistem maklumat ini turut
menyumbang kepada peningkatan kerjasama, semangat kerja berpasukan dan
kepimpinan di sekolah. Kajian di sekolah-sekolah di Australia (Gurr, 1997,
1999, 2001) turut menyokong dapatan kajian terdahulu tadi mengenai sumbangan
ICT dalam pendidikan, termasuk dalam bidang pengurusan dan kepimpinan
pendidikan. Di samping itu,
( Scheffler &
Logan, 1999) pula telah mengenalpasti beberapa kompetensi ICT yang utama di
kalangan guru dan pengurusan sekolah di Amerika Syarikat.
Melalui penggunaan kaedah Delphi, didapati
bahawa kompetensi utama yang perlu dikuasai oleh guru dan pengurusan sekolah
adalah kompetensi untuk mengintegrasikan ICT dalam kurikulum dan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kompetensi dalam penggunaan
internet dan e-mail juga turut tersenarai, dan ini selaras dengan standard
technology and indicator quality oleh National Study of School Evaluation
(NSSE) dan National Council for Accreditation of Teacher Education (NCATE)
Standard di Amerika Syarikat.
Dapatan ini turut disokong
oleh kajian penggunaan Personal Digital Assistants (PDA) di kalangan pengurusan
kanan dan kepimpinan sekolah oleh (Perry, 2003) di Amerika Syarikat. Dalam
kajian ini beliau mendapati bahawa pengurus dan pemimpin sekolah telah mendapat
banyak faedah daripada penggunaan alat ini di samping dapat meningkatkan
kerjasama berpasukan. Antara kaedah yang digunakan termasuk penggunaan jadual
waktu, penentuan mesyuarat, maklumat pelajar dan guru serta laporan-laporan
terkini berkaitan kehadiran pelajar dan kes salah laku. Di samping itu, mereka
juga menggunakan PDA untuk tujuan penulisan (word-processing) dan persembahan
dalam bentuk Power Point. Hasil kajian yang telah dihuraikan di atas,
diharapkan dapat memberi input dan dapat membantu kita melaksanakan pelbagai
program ICT di Malaysia.
4.0 Cabaran perubahan ICT
Adalah sangat penting dalam menghadapi
ekspektasi dan cabaran perubahan, seluruh warga pendidikan memerlukan
persediaan yang rapi. Ini merangkumi perancangan jangka panjang, perancangan
jangka pendek, perancangan aktiviti dan program serta pengurusan dan pentadbiran
ICT di sekolah. ICT merupakan sistem yang berupaya melaksanakan pengumpulan,
pengurusan, manipulasi, perolehan dan komunikasi maklumat dalam pelbagai
bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran
pendidikan , pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang
hayat. Dengan penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P
dijalankan tanpa sebarang kekangan tempat dan masa. Ianya juga akan meningkatkan
penggunaan sumber pendidikan dan berupaya meningkatkan kualiti pendidikan
disamping mempercepatkan proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar.
4.1 Pengetua dan ICT
Setakat ini belum ada kajian yang menyeluruh
tentang tahap penguasaan teknologi maklumat komunikasi [ICT] di kalangan para
pengetua dan guru besar di Malaysia. Rohana Abdul Rahman (1995) dalam kajiannya
mendapati guru-guru bersikap positif terhadap penggunaan komputer dalam
pentadbiran. Ini adalah selaras dengan dapatan kajian oleh Mustafa Sidi (1995)
yang melaporkan majoriti pentadbir sekolah menengah Daerah Kuantan bersikap
positif terhadap penggunaan komputer untuk pentadbiran. Namum demikian, satu
kajian yang telah dijalankan di Australia [Gurr 2000] telah mengenal pasti
perubahan pada Pengetua dan Guru Besar dalam bidang-bidang seperti kepimpinan,
terutama dalam menjalankan tugas, akauntabiliti, pengurusan sumber manusia,
penyelesaian masalah, membuat kepuasan dan komunikasi, kuasa dan perancangan
apabila ICT diperkenalkan dalam sistem persekolahan.
Gurr [2003] dalam kajiannya
telah mendapatkan persepsi 21 orang pengetua dan guru besar mengenai kesan
teknologi dalam sembilan perkara berikut: penggunaan software, penggunaan
teknologi [hardware], penggunaan teknologi kerja-kerja jaringan [networks],
pengajaran dan pembelajaran, kerja bersama staf, pentadbiran, hubungan dengan
Kementerian Pelajaran, perkembangan profesional pengetua dan guru besar dalam
teknologi, kualiti personel, dan kesan terhadap staf pejabat kepada kerja
pengetua dan guru besar.
Mereka juga perlu membantu
sekolah dengan menggunakan ICT di samping turut menyokong staf sekolah iaitu
guru dan staf sokongan menghadapi perubahan ini. Pengetua dipertanggungjawabkan
untuk melaksanakan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, khasnya
dalam proses pembestarian sekolah masing-masing. Pada masa yang sama mereka
juga perlu memperlengkapkan diri dengan isu-isu yang berkaitan dengan minat,
kebolehan dan kemahiran dalam ICT.
4.2 Peranan Pengetua dan Guru
Besar
Jika sekolah hendak
mempertingkatkan kualiti ilmu dan ketrampilan pelajar dalam ICT, ianya perlu
dilaksanakan melalui kerja guru dan lain-lain staf yang menyokong tahap
pembelajaran yang hendak dicapai. Tenaga pengajar terbabit dalam inisiatif ini
akan mengikuti kursus kemahiran komputer dengan sebahagiannya secara on-line.
Oleh itu pengetua dan guru besar perlulah berfikiran terbuka untuk melepaskan
guru-guru menghadiri kursus dalam perkhidmatan untuk membolehkan mereka
menguasai ilmu dan kemahiran ICT. Dengan kadar perubahan dalam ICT yang berlaku
amat pesat, guru-guru perlu , atas inisiatif sendiri meneroka resos-resos baru
dalam bidang ICT.Pengetua dan Guru Besar perlu
memastikan beberapa perkara pengurusan dapat diselaraskan dalam merelialisasikan
pembestarian sekolah ini. Antara perkara yang dikenal pasti adalah seperti
berikut:
4.2.1 Membina Kebolehan Kelas
dalam ICT
- Guru-guru yang bersedia
untuk menggunakan teknologi sebagai model kepada pelajar
- Pelajar yang terpaksa menggunakan
ICT, akan merasai bahawa penggunaan ICT banyak memberi manfaat kepada diri
masing-masing.
- Resos yang mudah dicapai sama ada di dalam
kelas atau di sudut yang berdekatan.
4.2.2 Perkembangan Resos
Hubungan diantara kemampuan
untuk meningkatkan kebolehan dalam ICT dan resos ICT adalah berbentuk saling
bergantungan. Sebenarnya kebolehan ICT di kalangan pelajar dan guru boleh
dianggap sebagai resos untuk pembelajaran merentasi kurikulum, dan adalah wajar
bagi sekolah-sekolah untuk merancang pembangunan resos dan kebolehan dalam ICT
secara serentak.
4.2.3 Perubahan pentadbiran
Seterusnya ialah perubahan
penting dalam pentadbiran sekolah yang melibatkan pelbagai unsur elektronik
iaitu menggunakan persidangan video, mel elektronik, mesyuarat secara
elektronik, alat kumpulan (groupware) dan syarahan tamu elektronik. Keadaan ini
memudahkan pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan untuk memudahkan membuat
projek sekolah yang selalunya menghadapi kekangan masa, kawasan dan jarak. Perubahan
pengurusan sekolah yang menggunakan lCT akan kelihatan bukan sahaja daripada
aspek fizikal iaitu peralatan teknologi maklumat dan komunikasi, tetapi juga
daripada aspek keadaan sekeliling termasuk motivasi dan kepentingannya kepada
pelajar.
5.0 Penggunaan ICT - Pemimpin
sebagai (role model)
Di sekolah, orang yang paling
disegani oleh guru dan murid ialah Pengetua atau Guru Besar, yang juga dikenali
sebagai pemimpin. Oleh yang demikian, pemimpin sekolah perlu bijak dalam
mengambil tindakan yang wajar bagi membentuk organisasi di mana ahli-ahlinya
boleh mempelajari kemahiran dan ilmu pengetahuan yang perlu secara berterusan
bagi merealisasikan aspirasi negara. Seperti mana yang dinyatakan oleh
Schein(1998) , bahawa pemimpinlah yang menentukan apakah tingkahlaku yang boleh
diterima. Beliau seterusnya menekankan, “Jika pemimpin hari ini mahu mencipta
budaya organisasi yang mementingkan pembelajaran, pemimpin hendaklah
menunjukkan contoh dengan cara turut belajar dan melibatkan orang lain dalam proses
pembelajaran tersebut”. Dalam kata lain, pemimpin sekolah hendaklah membina
sekolahnya sebagai sebuah organisasi pembelajaran.
Dalam literatur pendidikan,
pengetua dihuraikan sebagai mempunyai pelbagai bentuk kepemimpinan: teknikal,
transaktional, transformasional, instruktional, fasilitatif dan moral (Busher
& Harris, 2000). Walau pun stail kepimpinan pengetua boleh berbeza beza,
contohnya autoritarian atau demokratik, namun keberkesanan sekolah hanya dapat
dicapai melalui penyertaan semua pihak, khususnya pihak guru dan pelajar.
Pelaksanaan program-program sekolah perlu penglibatan guru dan anggota staf
sokongan. Malahan, pengetua patut menentukan hala tuju dan misi sekolahnya
bersama-sama guru dan warga sekolah lain, Tidak dinafikan bahawa tanggungjawab
pengetua amat berat dan tugasnya kompleks dan sukar. Pengetua perlukan
pasukannya untuk menguruskan sekolah dengan cekap dan berkesan. Kerja
berpasukan memerlukan komitmen, kompetensi dan kepimpinan di kalangan
ahli-ahlinya. Pengetua wajar menggalakkan perkembangan kepimpinan dan
membina kapasiti di kalangan semua gurunya (Gabriel, 2005).
Dalam usaha menambah ilmu dan
pengalaman ahli-ahli, pemimpin dan pengurus pendidikan juga boleh menggunakan
kuasa sah mereka untuk menurunkan kuasa kepada orang bawahannya (enpowerment)
bagi membolehkan orang bawahan membuat keputusan bagi pihak ketua dan
seterusnya memperolehi
kemahiran dan pengalaman
baru.
Sebenarnya para pemimpin
sekolah boleh mewujudkan budaya ilmu, di mana ahli-ahlinya sentiasa mempelajari
sesuatu pengetahuan baru bagi tujuan menambahbaik kerja mereka dengan
menjadikan pengalaman sebagai satu bentuk budaya ilmu pengetahuan dan
pembelajaran. Ini bertujuan mempelbagaikan kemahiran mereka supaya lebih
bersedia dalam menangani apa jua isu yang mungkin timbul pada masa akan datang.
Tidak hanya memberi peluang belajar, malah diberi rangsangan bukan sekadar ilmu
pengetahuan dan pengalaman baru, malah turut memperolehi kemahiran dalam
penyelesaian masalah yang mana akan membangunkan keupayaan mereka untuk
pembelajaran pada masa hadapan (Tjepkema & Wognum, 1998).
Memperolehi ilmu pengetahuan
melalui analisis data dan maklumat menjadi lebih mudah lagi dengan adanya
kemudahan infrastruktur teknologi ICT canggih masa kini. Seseorang pekerja akan
dapat mengkaji punca sesuatu masalah dengan mengumpul dan menganalisis maklumat
serta data yang berkaitan. Dalam proses ini, kemahiran serta ilmu pengetahuan
baru dapat diperoleh. Maklumat yang diperoleh ini juga boleh disimpan dengan
banyaknya untuk jangka masa yang panjang bagi tujuan kajian semula pada masa
akan datang. Selain itu, kecanggihan teknologi internet dan jaringan setempat
(local area network) membolehkan perkongsian maklumat ini berlaku dengan mudah,
cepat dan tepat.
Keadaan ini akan
mempercepatkan proses pembelajaran di peringkat organisasi. Proses membuat
keputusan dalam menyelesaikan masalah akan dibuat secara lebih sistematik, dan
tepat berpandukan analisis maklumat yang dibantu dengan teknologi dan perisian
komputer yang canggih.
6.0 Penerapan ICT
Kemudahan ICT dan
penerapannnya dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah juga tidak mustahil
memperolehi peningkatan produktiviti yang sama kerana ICT sangat membantu
mempermudahkan tugas dan tanggungjawab di sekolah. Kesan penggunaan lCT dalam
pendidikan mungkin menyebabkan kesukaran seperti tugas memantau para guru yang
banyak melakukan tugas yang tidak dapat dilihat secara nyata atau terlalu
banyak keputusan yang hendak dilakukan. Maksudnya, organisasi atau sekolah
boleh mencipta atau membangun sistemnya sendiri. Pembangunan sistem di sekolah
dapat membantu guru dan pelajar mengakses maklumat dalam mempertingkatkan
produktiviti atau pencapaian mereka. Sistem maklumat yang dibina itu juga
memberikan kesan proses pembelajaran pada setiap minit pengajaran, mungkin
setiap penggal atau setiap tahun. Dari sudut yang lain, sistem maklumat dapat
menyokong pelbagai tugas asas teknikal dan memberi kesan kepada tahap
produktiviti, Justeru, asas teknikal dalam lCT mampu untuk menangani proses
pendidikan. Sistem maklumat boleh menyelamatkan data pelajar yang begitu
kompleks
sebelum mengurangi bebanan
pentadbiran.
6.1 . Asas Teknikal Pendidikan
Data dan maklumat yang
diproses kadang kala merupakan data dan maklumat yang berterusan atau berangkai,
contohnya ialah kad laporan prestasi pelajar, gred, data ujian tahunan, laporan
perubatan dan sebagainya. Maklumat ini memerlukan laporan atau maklumat
berterusan. Dengan menggunakan asas teknikal lCT, membolehkan beberapa tugas
seperti pengkelasan, kadar pertimbangan, nisbah pengeluaran, pengulangan atau
kebergantungan yang menggunakan
proses long-linked dapat
diuruskan.
6. 2 Memperluaskan Rangkaian Maklumat
Pihak pentadbiran dan pengurusan pendidikan
juga sering menghadapi masalah kehilangan data penting terutamanya data
berterusan. Asas teknikal dalam organisasi pendidikan sebenarnya berfungsi
menstrukturkan data dan proses pengantaraan untuk menjadikan sistem maklumat
berhubungan antara satu dengan yang lain seterusnya memaksimakan potensi organisasi.
Rakan sekolah dapat mengumpul data, mengautomatikkan proses dan
memaklumatkannya untuk tugas dipelbagai tahap pembuat keputusan dan di pelbagai
peringkat pengurusan sekolah. Dengan maksud yang lain, semua pihak dalam
organisasi boleh berkongsi maklumat dan data tetapi mereka memprosesnya untuk
memperolehi keputusan yang berbeza, di tempat yang berbeza. Dengan itu juga,
persoalan untuk kehilangan maklumat tidak terjadi kerana perkongsian maklumat
membolehkan kawalan untuk mengesan semula dan memperolehi semula maklumat
tersebut. Maklumat yang kita simpan mungkin tidak kita gunakan tetapi boleh
digunakan oleh orang lain untuk tujuan tertentu.
6.3. Membina Sistem
Perkara penting apabila ICT dapat digunakan
dalam pengurusan pendidikan ialah kebolehan untuk membangun atau mencipta
sistem berdasarkan asas teknikal. Maksudnya, organisasi atau sekolah boleh
mencipta atau membangun sistemnya sendiri. Pembangunan sistem di sekolah dapat
membantu guru dan pelajar mengakses maklumat dalam mempertingkatkan
produktiviti atau pencapaian mereka, Sistem maklumat yang dibina itu juga
memberikan kesan proses pembelajaran pada setiap minit pengajaran, mungkin
setiap penggal atau setiap tahun. Dari sudut yang lain, sistem maklumat dapat
menyokong pelbagai tugas asas teknikal dan memberi kesan kepada tahap
produktiviti.
Penggunaan ICT dalam pentadbiran dan
pengurusan sekolah dapat menjamin keadaan di mana maklumat yang diperolehi oleh
pengguna adalah tepat, mudah dan relevan. Era masa ini digelar era maklumat.
Kebolehan mengurus secara berkesan dan efisyen adalah menjadi keutamaan bagi
sesebuah sekolah. Kemampuan ini akan memberikan imej masa depan dan gambaran
yang baik mengenai sekolah. Keberkesanan dan efisyennya kaedah mengurus itu
sangat bergantung kepada bagaimanakah sekolah itu memanipulasikan ICT untuk
kepentingan organisasinya. Maklumat tentang organisasi mestilah tepat dan
ketepatan itu hanya dapat dicapai melalui penggunaan ICT atau komputer sebagai
alat memproses data ten tang oraganisasi tersebut. Penggunaan cara manual
mungkin akan menyebabkan kesilapan pengiraan dan akan terus menjejaskan
keputusan. Maklumat tepat adalah bebas daripada kesalahan atau kesilapan atau
bias. Maklumat melalui ICT juga mencerminkan maksud sebenar data.
Melalui kemudahan ICT yang disediakan juga
memberi peluang kepada pengguna
untuk memperolehi maklumat dengan cepat atau
memperolehi maklumat dalam masa yang ditetapkan. Keadaan ini mengelakkan pembaziran
masa dan juga tumpuan kerja secara manual yang sukar. Selain itu pelbagai
persoalan tentang permasalahan, kes atau isu dapat dijawab dengan jawapan yang
relevan rnelalui kemudahan ICT yang ada. Kemudahan lCT juga dapat mengelakkan
jawapan yang menyeleweng atau tersasar. Dalam dunia serba canggih hari ini,
kepantasan memperolehi maklumat akan menentukan kedudukan sesebuah sekolah di hadapan daripada barisan pesaingnya yang
lain.
Perhubungan menggunakan teknologi maklumat dan
komunikasi mempercepatkan pergerakan maklumat sama ada dari pelajar kepada
guru, guru kepada sekolah, sekolah kepada pelajar, dan seterusnya. Begitu juga
peredaran maklumat lebih pantas dapat dilakukan daripada pelajar, guru dan
sekolah kepada ibu bapa, dan masyarakat umumnya. Kesukaran memperolehi maklumat
seperti ketiadaan perkakasan untuk aplikasi ICT mungkin menyebabkan sekolah
atau institusi pendidikan ketinggalan dan tidak dapat bersaing atau gagal
untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Strategi untuk menggabungkan dan memantapkan
penggunaan ICT dalam P & P bukan hanya semata-mata terletak di bahu guru
sahaja tetapi juga kepada pemimpin sekolah. Peranan pemimpin adalah amat
penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka bukan sahaja perlu
memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna
ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan
budaya ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya
disediakan. Polisi ini akan membantu merekabentuk dan mengurus program ICT
bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif.
Sesebuah polisi tidak perlu statik tetapi
perlu disemak setahun sekali terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat
dan terdapat perubahan pada dasar dan prodesur Kementerian Pelajaran. Kerangka
polisi ICT harus dibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah,
pandangan daripada ibu bapa dan komuniti, polisi Pejabat Pelajaran Daerah,
polisi rasional penyelidikan tentang pengajaran dan pembelajaran yang efektif
dan perkembangan teknologi
(Mohammed Sani & Mohd Jasmy, 2002).
Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang
telah ditetapkan, sekolah harus menyediakan pelan pembangunan. Heinrich (1995)
menyatakan pelan ini harus mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti
strategi pemantauan dan penilaian; spesifikasi tentang pemilihan pembiayaan
serta pembelian perisian dan perkakasan, kurikulum yang digunakan dan
perancangan untuk penggantian dan pembinaan peralatan secara berterusan. Program
pembangunan sekolah harus selari dengan matlamat dan prosedur yang telah
ditentukan oleh Kementerian Pelajaran serta mendapat sokongan dan bimbingan
daripada pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk membuat
pelan pembangunan ICT dan seterusnya memantau pelaksanaannya.
Pemimpin sekolah sebagai agen perubahan harus
memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum
oleh guru semasa P & P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah
mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kekecohan dan
kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan Guru Penyelaras Bestari
mesti dipantau supaya budaya menyelenggara alat-alat pekakasan sentiasa
dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Disamping harus peka dan jelas
dengan arahan-arahan Kementerian Pelajaran tetapi dalam melaksanakannya di
peringkat sekolah, mereka perlu mengubahsuai prosedur mengikut kemampuan
guru-guru untuk melaksanakannya dengan berkesan.
Perkembangan dan pembangunan staff harus
diberi perhatian yang lebih oleh pemimpin sekolah. Pembangunan staff yang
melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan dua bidang iaitu penguasaan ICT
dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid. Perancangan
pihak sekolah untuk memberikan kursus-kursus dalaman dan luaran kepada guru
adalah perlu. Untuk itu pengurus sekolah hendaklah sentiasa melakukan kajian
keperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT
dan instruksional. Program perkembangan staff amat perlu untuk memastikan
guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menggunakan
peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk
menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan
pembangunan sekolah.
Bagi tujuan mencapai matlamat meningkatkan
tahap kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia telah dan akan meneruskan usaha-usaha seperti menyediakan latihan yang
secukupnya kepada kumpulan pengurusan untuk memastikan sekolah-sekolah dapat
diuruskan dengan cekap. Langkah ini dilakukan kerana dipercayai pemimpinlah
yang menentukan arah dan suasana organisasi masing-masing. Yang membezakan
antara organisasi yang berjaya dengan organisasi yang kurang berjaya ialah
pemimpinnya.
7.0 Kesimpulan dan penutup
Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang
telah menerima kemajuan tamadun sebagai satu realiti dalam kehidupan.
Pembudayaan ICT dalam kehidupan juga telah semakin menular dan berleluasa
sehinggakan peredaran maklumat tidak dapat dibendung lagi. Keadaan ini
sebenarnya adalah positif. Aplikasi dan implimentasi lCT di sekolah juga
merangsang kepada tindak balas atau perubahan kepada masyarakat. Jika pihak
keluarga pelajar atau masyarakat umum ingin mendapat tahu mengenai pencapaian
sekolah, aktiviti sekolah, laporan, majalah sekolah dan sebagainya, pihak
pengurusan atau pentadbir boleh menyarankan mereka mendapatkannya melalui
internet. Berikan sahaja kepada mereka alamat web, contohnya http:/ / /www.smktar.com.my.
Masyarakat akan terangsang untuk mendapatkan kemudahan IT. Ibu bapa juga tidak
perlu untuk menandatangani laporan kad kemajuan pelajar, sebaliknya boleh
memberikan respon kepada laman web untuk mendapatkan maklum balas,
Dalam keadaan tertentu, perubahan pembangunan
dalam masyarakat pula yang menyebabkan institusi pendidikan dan sekolah
terpaksa merubah budaya tradisi dan cara manual kepada teknologi dan digital.
Sekolah berhadapan dengan masyarakat berilmu pengetahuan. Sebagai asas pembentukan
masyarakat berilmu sepatutnya sekolah mendahului bidang lain dalam teknologi
maklumat ini, Justeru, sekolah yang masih ketinggalan sepatutnya merubah budaya
sekolah mereka dan menjadikan lCT sebagai keperluan wajib untuk menangani
perubahan masyarakat. Usaha kerajaan mewujudkan sekolah bestari adalah contoh
inisiatif untuk merubah budaya dan iklim sekolah corak tradisi kepada corak
berteknologi maklumat. Sekolah yang tidak berpeluang ditaja oleh kementerian
menjadi sekolah perintis bestari turut juga digalakkan dengan inisiatif sendiri
dan sokongan sektor awam atau korporat membangunkan ICT di sekolah sesuai
dengan cita-cita negara menjadikan pendidikan yang bertaraf dunia,
Penutup
Peranan teknologi maklumat sangat penting
dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar dan menghadapi persaingan global
ini. Dunia yang dianggap sudah tidak bersempadan daripada sudut pergerakan
maklumat telah memberikan inspirasi supaya setiap sekolah menerima tanpa soal
jawab aplikasi dan implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan. Walaupun
mungkin terdapat pelbagai halangan seperti kekurangan kepakaran dan
pengetahuan, namun apabila ICT sudah menjadi darah daging, ia akan lebih
memudahkan tugas dan kerja pengurusan dan pentadbiran.Integrasi ICT dalam
pengurusan pendidikan merupakan perkara penting dan memerlukan sokongan serta
usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan
semua pihak
Pengetua perlu memainkan peranan yang aktif
untuk membestarikan sekolah masing-masing. Matlamat pendidikan adalah untuk
melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasi apa yang mereka
telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya menyelesaikan
masalah yang belum pernah mereka temui. Mengurus TMK secara berkesan adalah
kunci kepada kejayaan pelaksanaan TMK di sekolah. Tanpa pengurusan yang mantap
dan berkesan, kejayaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan TMK akan
menghadapi laluan yang jauh. Mudah-mudahan semua sekolah akan menjadi Sekolah
Bestari menjelang tahun 2010 seperti yang dihasratkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan